*Tiga kemudahan ♿ berikut anda perlu hormati jika anda seorang rakyat Malaysia yang prihatin*
Minggu ini rata-rata warga kota akan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ada yang pulang ke Utara, ada yang menuju Pantai Timur dan ada juga yang ke Selatan.
Setiap kali musim perayaan sebegini, sudah pasti jalan-jalan utama dan Lebuhraya akan mengalami kesesakan luar biasa kerana rata-rata warga Malaysia akan keluar pada waktu yang hampir sama.
Dua atau tiga hari sebelum dan selepas raya merupakan waktu kemuncak penggunaan jalan raya di Malaysia bagi yang menyambut hari raya Aidilfitri.
Dalam situasi ini, pengguna jalan raya sudah pasti daripada pelbagai jenis latar belakang. Ada yang berpasangan, ada yang berkeluarga, warga emas dan tidak kurang juga dari kalangan Orang Kurang Upaya.
Oleh itu, sudah pasti RnR merupakan antara lokasi dan tumpuan utama pengguna jalan raya berhenti bagi merehatkan jiwa dan fizikal untuk perjalanan yang jauh.
Bagi pemandu OKU, sudah pasti RnR menjadi tempat penting untuk mereka beristirehat di pertengahan jalan. Meregangkan badan dan beberapa otot adalah penting untuk kelangsungan kesihatan bagi jangka masa yang lama.
Namun begitu, kemudahan OKU di RnR seringkali disalahgunakan oleh orang yang sempurna indera. Parkir OKU, tandas OKU, ramp dan laluan pejalan kaki merupakan antara kemudahan yang sering diceroboh oleh rata-rata manusia yang pentingkan diri sendiri semata-mata.
Atas alasan “sekejap sahaja” atau “tidak ada orang guna, lebih baik aku guna” menunjukkan golongan ini hanya mementingkan diri masing-masing. Selain itu alasan lain diberikan termasuklah parkir penuh kecuali petak khas untuk OKU saja yang kosong atau tiada golongan itu ketika mereka sampai di situ.
Ada yang enggan mengalah bahkan pula ada yang marah dan sanggup bergaduh kalau ada insan yang prihatin menegur. Tak kurang yang naik angin kalau ada yang memviralkan penyalahgunaan kemudahan ini di media sosial. Malu dan jatuh air muka kerana diviralkan hatta ada yang sanggup ingin mengambil tindakan undang-undang saman malu. Padahal mereka tidak rasa malu dan bersalah ketika mahu menceroboh kemudahan OKU.
Tuan-tuan tahu kepada kemudahan tersebut direka sebegitu?
Sebenarnya ada beberapa keperluan khas kenapa parking OKU bersaiz agak besar dan berdekatan dengan bangunan. Sebabnya ialah bagi memudahkan pemandu/penumpang menurunkan kerusi roda mereka. Bagi pemandu kerusi roda yang berdikari, mereka mampu menurunkan kerusi roda sendiri kerana sudah dilatih dan sudah biasa buat secara sendirian. Apa yang diperlukan adalah sedikit ruang parking agar pintu kereta dapat dibuka dengan kadar yang cukup.
Sementara tandas OKU direka dengan saiz yang sedikit besar dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti grab bar dan seumpamanya. Ruang tandas yang besar adalah memudahkan kerusi roda “maneuver” dan bergerak secara efektif. Manakala fungsi grab bar / flip grab bar bertujuan untuk berpaut dan pindah ke mangkuk tandas atau seumpamannya. OKU agak sukar untuk masuk ke tandas yang biasa kerana rekabentuk tandas tersebut tidak sesuai untuk mereka terutama yang berkerusi roda.
Manakala ramp dan laluan pejalan kaki pula dibina adalah sebagai laluan utama bagj kerusi roda kerana pengguna kerusi roda tidak dapat melalui kawasan bertangga dan bertebing. Jadi jangan pula ada motorsikal yang menghalangi laluan tersebut.
Oleh yang demikian, diharapkan pengguna jalan raya yang berhenti mana-mana RnR tidak menyalahgunakan kemudahan utama ini. Keperluan ini dibina untuk orang yang betul-betul memerlukan kerana cabaran fizikal mereka berbeza dari anda semua yang sempurna.
Jadilah pengguna jalan raya yang berhemah ketika pulang pada hari raya ini dan berhemah juga sampai bila-bila. Janganlah mementingkan diri sendiri semata-mata.
Kongsikan artikel ini demi keprihatinan dan tanggungjawab anda sebagai masyarakat Malaysia 🇲🇾 yang penyayang.
Salam Aidilfitri buat semua.
BASRI HUSIN
Kuala Lumpur
Kuala Lumpur