10 Tahun yang menguji; Antara kasih, cinta, setia dan tanggungjawab
Dalam 10 tahun usia perkahwinan ini tiada apa kemewahan saya mampu tawarkan buat Isteri. Bukannya jenama beg tangan ternama. Bukannya kereta bergaya dan tempat tinggal yang tersergam indah. Cukuplah sebuah kehidupan yang bahagia.
Ya! Kami hidup seadanya. Makan apa yang ada. Gembira dengan dua cahaya mata. Saat api marah dia marak membara, saya diam seribu bahasa. Apabila saya dalam keadaan tekanan dia datang memberi harapan.
Ketika 6 tahun usia perkahwinan, Allah menguji kehidupan dengan suatu ujian yang tidak pernah difikirkan. Suatu keadaan lumpuh fizikal diri ini yang membawa penuh emosi. Ketika saraf tunjang sudah rosak, maka dialah yang menjadi tunjang sebuah pengharapan.
Tiada perkara yang besar melainkan janji perkahwinan yang setia dalam apa jua keadaan. Sedikit ujian yang berlaku beliau berada di sisi memberi semangat. Saat berita kegembiraan disampaikan beliau sentiasa mengucap kesyukuran.
Tidak tahu mengapa aku memilih dia, dan tidak tahu mengapa dia menerima aku seadanya...
Sebenarnya di manakah chemistry itu?
Mungkinkah pada nama?
Perkara ini hanya terlintas dalam jiwa beberapa ketika dahulu.
Aku yang bernama Basri, Isteriku pula Ashikin Aini Abdullah. Namun, di mana chemistry kami? Perhatikan namaku, perhatikan pula nama isteriku. Apa maksudnya dalam bahasa melayu jika diterjemahkan?
Basri bererti penglihatanku. Ashikin Aini pula keasyikan mataku. Penglihatanku takkan sempurna tanpa mata, dan matanya tidak cantik sekiranya tidak berfungsi untuk melihatku.
Kebetulan? Mungkin itu tafsiranku. Atau ia suatu suratan yang ditakdirkan.
Namun sebenarnya ia lebih daripada itu. Ikatan perkahwinan yang penuh dengan kasih, cinta, setia dan tanggung jawab.
Setiap kesedihan dipikul bersama. Setiap kejayaan juga dikongsi bersama.
Pernah suatu ketika aku memberitahu guruku Prof. Emeritus Dato' Dr Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid yang diriku sudah submit tesis untuk pemeriksaan.. Kemudian daku berkata yang usaha usaha ini banyak dibantu oleh Ashikin Aini Abdullah. Jawapan Dato' sangat terinspirasi dan akan aku ingat sampai bila-bila;
“Apa saja kejayaan suami atau isteri sebenar nya kejayaan bersama. Kerana mereka sebenarnya dua badan dan dua jiwa yang telah bersatu dalam ikatan tali Allah.”
Namun dalam hatiku menambah, kejayaan ini tidak bermakna tanpa sokongan isteri yang begitu setia dalam usia perkahwinan ini.
Sesungguhnya ikatan perkahwinan itu memerlukan sebuah pengorbanan dan kesabaran. Kerana kemanisannya akan dapat dirasai untuk jangka masa yang lama.
Bak kata orang putih, “Complete each other, don't compete with each other”.
Doakan kami hidup kekal bersama sehingga ke hujung usia.
Selamat ulang tahun perkahwinan buat isteri tercinta!
25 Mei 2008 - 25 Mei 2018
No comments:
Post a Comment