Tuesday, 15 May 2018

Dunia OKU, Sejauh Mana Kita Cakna

Dunia OKU, Sejauh mana kita cakna?


Ketika kita sedang sibuk bertanya, hari ini nak makan apa dan nak makan di mana, ada dari kalangan OKU masih lagi berfikir nak makan macamana. Ada yang tak mampu memegang sudu, memegang gelas, ada pula yang makan bukan melalui mulut mereka.

Ada dari kita masih terfikir nak pakai apa dan baju warna apa, mereka hanya mampu memakai pakaian yang sama. Adakah salah mereka yang tidak berusaha untuk mengubah diri mereka? Cuba tanya diri kita sejauh mana kita bersikap empati terhadap keupayaan mereka? Sejauh mana sistem yang ada menyokong keupayaan mereka.

Dua tiga kali mereka pergi ke Pesta Kerjaya, namun jawapan tetap sama. Tiada kerja yang sesuai untuk mereka. Kalau diterima pun gaji yang tidak sepadan dengan usaha mereka.

Mereka bukanlah golongan meminta-minta, kerana mereka orang kuat usaha… Jika tak mampu membantu mereka, cukuplah berikan senyuman dan bertegur sapa. Jangan sisihkan mereka. Jangan diambil hak mereka. Parking, tandas OKU itu mereka punya. Jangan guna alasan sekejap sahaja atau tiada orang guna. Kerana kemampuan fizikal  tidak sama. Bukanlah kerana mereka Manja.

Jika yang berkerusi roda mahu ke ruang masjid, jangan dihalangi mereka, roda yang kotor mungkin alasannya. Sediakanlah kemudahan untuk mereka. Mereka juga hambanya. Bahkan Rasulullah juga muliakan mereka. Kisah Abdullah Ibnu Maktum sebagai contohnya.

Jika jumpa si buta di jalanan, bantu mereka tanya mahu ke mana. Bimbing mereka ke laluan tactile yang dibina. Mereka sudah biasa menggunakannya.

Jika pula ternampak golongan yang bercakap dengan isyarat tangan, mereka juga orang kurang upaya. Fizikal sempurna tetapi tidak pada pendengaran mereka.

Dan jika ternampak anak-anak istimewa, berilah sokongan moral kepada keluarga mereka. Jangan sinis dan jangan pula mengata. Anak-anak mereka seperti anak-anak kita. Mahukan kasih sayang daripada keluarga. Ibu bapa mana yang tak sayang anak mereka.

Catatan ini bukan meraih simpati sesiapa. Hanya mahu masyarakat cakna. Allah tidak melihat rupa yang sempurna.  Tetapi iman di dada.

Buka mata dan buka minda. Beri peluang kepada mereka, untuk sama-sama bangunkan negara dan hidup selesa bersama kita.

Basri Husin
15 Mei 2018
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment