Basmallah Berbentuk Ikan |
Dalam bahasa Arab huruf nun adalah yang kedua-puluh lima dalam abjad
dan memberi ma‘na ikan; dan tepat pada ma‘na itu huruf nun memang termasuk dalam jenis huruf-huruf
yang digelar dhalqiyyah, ya‘ni huruf cairan. Nun juga melambangkan Ilmu Ilahi (al-‘Ilm)
dan pengertiannya sebagai lambang demikian terdapat pada permulaan Surah
al-Qalam dalam al-Qur’an al-Karim. Dalam ilmu tasawuf dan falsafah Islam yang
berdasar pada hikmah, maka ikan itu melambangkan Ruh (al-Ruh) yang sedia ada dalam Ilmu Ilahi. ‘Abd al-Karim al-Jili, dalam kitabnya yang mashhur yang bernama al-Insan al-Kamil (Insan yang Serba-Sempurna),
menggelar Ruh pada suatu wajah sebagai Perhimpunan segala Diri (al-Nafs
al-Kulliyyah), yang difahamkannya juga sebagai Lauh yang Terpelihara (al-Lawh al-Mahfuz), dan yang dilambangkannya sebagai ikan (al-Hut). Dalam rencana susunan wujud semesta,
Perhimpunan segala Diri itu terdapat pada martabat Wahidiyyah, yang
mencarakan Keesaan dalam keadaan wujud Berganda. Ikan itu berdada dalam lautan
yang Mahadalam, ya‘ni Lautan Wujud yang Mutlak (al-Wujud al-Mutlaq). Tiga
gelembung menandakan tiga titik: satu ada huruf ba’ pada permulaan Bismi’Llahi’l-Rahmani’l-Rahim;
dan dua pada huruf ya’ pada penghujungnya. Titik-titik ba’ dan ya’
itu masing-masing merupakan titik-titik yang pertama dan yang penghabisan
pada huruf-huruf dalam abjad Arab; dan oleh itu di sini titik-titik itu
melambangkan Nama-Nama Ilahi (al-Asma’); yang Awwal (al-Awwal) dan yang Akhir (al-Akhir), yang
keduanya penuh dengan kandungan wujud yang nyata pada Alam Arwah (‘Alam al-Arwah) dan pada Alam Pengalaman Indera Jasmani (‘Alam al-Shahadah). Mata ikan
terbentuk dari huruf mim dalam al-Rahman. Nama Ilahi al-Rahman itu adalah dasar segala wujud dan mawjud,
yang memberi wujud, ya‘ni rahmah, pada makhluk
jelata. Dalam bahasa Arab perkataan yang berma‘na mata adalah ‘ayn
juga berma‘na intisari atau hakikat sesuatu. Di sini huruf mim itu bererti Muhammad, jadi bentuknya
sebagai mata ikan melambangkan intisari sifat ikan itu sebagai Hakikat Muhammad
(al-Haqiqat al-Muhammadiyyah).
* Khat hasil gubahan Profesor Dr. Syed Muhammad
Naquib al-Attas pada tahun 1980 ini terpahat sebagai lambang rasmi cetakan
pertama karyanya, The Concept of Education in Islam, terbitan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), selain turut terukir sebagai satu-satunya
tema dan corak rasmi Kad Selamat Hari Raya ‘Id
al-Fitr Universiti Malaya pada tahun yang sama
(bersamaan dengan 1 Shawwal 1400H). Huraian
ringkas beliau mengenai pelbagai erti perlambangan yang terkandung dalamnya, sebagaimana
yang dinukilkan semula di sini, dirakamkan buat kali pertamanya pada Kad yang
sama.
Terima kasih kepada Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah yang memberikan bahan dan maklumat tentang khat untuk diterbitkan dalam blog ini
No comments:
Post a Comment