Friday, 9 September 2011

Catatan Sekitar Majlis Pelancaran Buku "Historical Fact and Fiction" Karya Syed Muhammad Naquib al-Attas

9 September 2011 - Alhamdulillah pada hari Jumaat yang penuh barakah di bulan Syawal ini, saya berkesempatan menghadiri majlis pelancaran buku Historical Fact and Fiction Karya Syed Muhammad Naquib al-Attas di Dewan Besar UTM, International Campus Jalan Semarak Kuala Lumpur. Majlis yang penuh bersejarah telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti al-Marhum Sultan Idris Shah, Tuanku Canselor Universiti Teknologi Malaysia. Majlis yang gilang-gemilang ini dipenuhi oleh para tetamu yang terdiri daripada para pelajar, pensyarah, orang awam dan sebagainya.

Buku Historical Fact and Fiction memperbetulakan fakta yang salah dan kurang tepat yang dibuat oleh sejarawan terutamanya dari kalangan orientalis tentang permulaan dan penyebaran Islam di Nusantara. Al-Attas dalam karya ini  mendedahkan tentang kesilapan serta kesalahan orientalis yang menulis tentang sejarah Islam di Nusantara berdasarkan metodologi empirikal dan analisis logik lemah yang pada akhirnya beliau berjaya memperbetulkan fakta-fakta tersebut. Untuk bacaan seterusnya boleh dapatkan naskah tersebut yang berharga RM180. Namun, sempena pada majlis pelancaran karya tersebut, naskah dijual dengan harga RM125. Walaupun kelihatan agak mahal, namun status karya tersebut memang tidak ternilai dari segi kualiti analisisnya yang telah berjaya memperbetulkan kembali sejarah-sejarah yang telah diselewengkan oleh orientalis yang mempunyai agendanya yang tersendiri.




Majlis pelancaran buku tersebut tamat kira-kira jam 11.15 pagi. Selepas itu, para tetamu dihidangkan dengan jamuan yang diservis oleh Katering D Saji. Setelah itu, sebahagian tetamu menunaikan solat Jumaat di Masjid Pusat Islam, UTM yang mungkin baru disiapkan. Khutbah disampaikan oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar, pensyarah CASIS-UTM bertajuk “Mensyukuri Nikmat Allah”. 



Pada sesi petang pula, satu seminar khas Sejarah Alam Melayu Antara Fakta dan Khalayan di adakan di Dewan Jumuah UTM. Para pembentang tediri daripada Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud (CASIS-UTM), Prof Dr Hashim Musa (UPM), Prof Madya Dr Tatiana Desinova (UM), Dr Syed Khairuddin al-Junaid (NUS-Singapura) dan Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman (CASIS-UTM). Antara yang menarik pada sesi ini ialah, betapa peranan dan ketokohan al-Attas dalam bidang persejarahan yang di Alam Melayu dalam memperbetulkan fakta tentang tarikh pada batu bersurat Terengganu yang dibuat oleh Peterson iaitu Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu. Al-Attas melalui kepakaran beliau dalam bidang khat serta bahasa telah berjaya menentukan tarikh tepat bagi penulisan batu ini iaitu pada hari Jumaat, 4 Rejab 702 H.




Wassalam
Salam Hormat,
Basri Husin
Pantai Dalam 



No comments:

Post a Comment