Thursday, 8 September 2011


ISU-ISU UTAMA “ILHAM” DALAM 
AJARAN SESAT QADIANI

Ajaran Qadiani atau juga dikenali sebagai Ahmadiah yang suatu ketika dahulu bergerak aktif di Kampung Nakhoda, Batu Caves Selangor telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24-25 Sep 1984. Antara kandungan fatwa tersebut menyatakan bahawa “Puak Qadiani /Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menerima hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.”


Mirza Ghulam Ahmad

Ajaran Qadiani ini diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India pada tahun 1889. Ia dipercayai meresap masuk ke tanah Melayu sekitar 1930-an  dan dipercayai dibawa oleh Maulana Husin Iyaz yang datang ke Singapura pada tahun 1935.

Daripada berberapa kandungan ajaran yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad, beliau antara lain mengaku menerima kitab (panduan baru) daripada tuhan menerusi jalan ‘ilham’ dan ‘wahyu’ sebagaimana dakwaanya dalam al-Khutbah al-Ilhamiyyah;

“Ini adalah kitab yang telah di‘ilham’kan oleh Tuhan kepadaku di satu hari daripada hari-hari perayaan, malah ia adalah hakikat yang diwahyukan tuhan kepadaku”.


Mirza Ghulam Ahmad menambah;

“Sesungguhnya telah sampai ‘wahyu’ kepadaku daripada Tuhan sebelum diturunkan penyakit taun supaya aku membuat perahu (bahtera) dengan pertolongan dan ‘wahyu’ kami”.


Dalam hal ini, ‘wahyu’ yang diterima oleh Mirza bukanlah melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s, tetapi melalui ‘ilham’ yang datang terus dari Allah S.W.T. Mirza juga mengakui bahawa wahyu melalui perantaraan Jibrail a.s sebenarnya telah terhenti kerana ‘wahyu’ ini  hanyalah kepada rasul yang membawa agama baharu sahaja. Sebaliknya beliau mengkiaskan istilah ‘wahyu’ tersebut dengan konsep ‘ilham’ bagi setiap hujah dan dakwaan yang dikemukakan beliau.


Penerimaan ‘kitab baru’ sebagaimana yang  didakwa Mirza seolah-olah wujudnya syariat baru dalam Islam yang jelas bertentangan dengan apa yang dijelaskan al-Qur’an. Sedangkan telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa syariat Islam adalah yang terakhir dan telah lengkap sebagaimana firman Allah:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا


Pada Hari Ini, Aku Telah Sempurnakan Bagi Kamu Agama Kamu Dan Aku Telah Cukupkan Nikmatku Kepada Kamu Dan Aku Telah Redakan Islam Itu Menjadi Agama Untuk Kamu.
Surah al-Ma’idah (5): 3

*Catatan: Nota ini adalah sebahagian daripada kertas kerja penulis yang bertajuk "Isu-Isu Utama "Ilham" Dalam Ajaran Sesat Di Alam Melayu: Penyelesaiannya Menurut Perspektif Imam al-Ghazali" yang (akan) dibentangkan pada 14-16 November 2011 di Equotaril Hotel Melaka

No comments:

Post a Comment