Friday, 30 September 2011
Panduan Memilih Warna Untuk Website, Blog, Poster atau Pamphlet (Brosur)
Memilih warna untuk web, poster, pamphlet dan sebagainya sememangnya memerlukan satu
kemahiran yang tinggi agar sesuatu warna tu tidak terlalu kusam dan tidak
terlalu terang. Ia haruslah sesuai dengan tema yang diinginkan. Sekiranya pamphlet
yang dibuat itu untuk kanak-kanak, maka warna keceriaan dan terang menjadi
pilihan utama. Sebaliknya pamphlet atau poster untuk orang dewasa, warna-warna
yang kurang terang menjadi pilihan. Di samping itu, tulisan juga memainkan
peranan dalam sesuatu rekaan. Kalau ia ditujukan kepada orang dewasa atau tua,
tulisan janganlah terlalu kecil, kerana kebanyakan orang tua atau dewasa sudah
menghadapi masalah penglihatan.
Berkebetulan saya sedang menyiapkan satu pamphlet dan poster untuk seminar pada 2012, saya
terjumpa satu website http://colorschemedesigner.com/#
yang memberi panduan kepada anda untuk menyesuaikan warna berdasarkan pilihan
masing-masing. Anda hanya perlu copy paste code tersebut di Adobe Photoshop
mengikut selera masing-masing. Selamat Mencuba!!
Purple Color
Maroon color
Spring Green
Ini pula adalah contoh website yang menggunakan kaedah
gabungan warna dari “colorschemedesigner”
Sekian, bertemu lagi
Basri Husin
Universiti Malaya
30 September 2011
20:22Thursday, 15 September 2011
Dokumen Pemasyhuran dan Penubuhan Malaysia 1963
Watikah Pemasyhuran Malaysia |
PEMASHHORAN
MALAYSIA 1963
Dengan
nama Allah Yang Maha Murah [Pemurah] lagi Maha Mengasehani.
Segala Pujian2 bagi Allah Tuhan Seru
sakalian ‘Alam dan selawat dan salam bagi Junjongan Kita Nabi Muhammad dan bagi
sakalian Keluarga serta Sahabat2-nya
BAHAWA SA-NYA oleh kerana suatu Perjanjian yang di-perbuat pada Sembilan
hari bulan Julai tahun sa-ribu sembilan ratus sembilan enam puloh tiga antara
Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura
maka telah di-persetujui bahawa hendak-lah di-sekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak
dan Negeri Singapuran dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandongi Negeri
Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri
Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan
Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendak-lah di-namakan “Malaysia”.
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana pihak2 dalam Perjanjian yang tersebut
telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah,
Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendak-lah tamat daripada menjadi jajahan
ta’alok Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda
Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga2 buah Negeri itu;
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana telah di-mashhorkan suatu Perlembagaan
bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang mu’tammad di-dalam-nya;
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah
di-adakan sharat bagi menjaga keselamatan hak2 dan keutamaan2 Duli2 Yang Maha
Mulia Raja2 serta hak2 asasi dan kebebasan sekalian ra’ayat dan bagi
mengekalkan keamanan dan kemesraan di-dalam Malaysia sa-bagai Kerajaan yang
mempunyai Raja yang berpelembagaan dan yang berdasarkan demokrasi chara berparlimen;
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah
di-sahkan oleh suatu undang2 yang di-luluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah
Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalan-lah kuat-kuasa
Perlembagaan itu pada Enam belas hari bulan September tahun sa-ribu Sembilan ratus
enam puloh tiga;
MAKA dengan nama Allah Yang Maha Murah [Pemurah] lagi Maha
Mengasehani, saya TUNKU ABDUL RAHMAD PUTRA AL-HAJ INBI AL-MARHUM SULTAN ABDUL
HALIM SHAH, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ka-bawah
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama
Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan
Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak DENGAN INI MENGISHTIHAR DAN MEMASHHORKAN
bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam belas hari bulan September
tahun sa-ribu sembilan ratus enam puloh tiga bersamaan dengan Dua puloh lapan
hari bulan Rabi’ul Akhir tahun Hijrah sa-ribu tiga ratus lapan puloh tiga,
Malaysia yang mengandungi Neger Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri
Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri
Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan
Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul’ –Alamin akan kekal
menjadi sa-buah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan
kebebasan dan ke’adilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan
dan kemesraan umat-nya dan mengekalkan keamanan di-antara segala bangsa
di-dunia ini.
Kuala Lumpur
Enam belas hari bulan September 1963 Perdana
Menteri
Sumber:
PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA 1791-1965 (2008), Terbitan
Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur, h. 104-105
Wajah-wajah JAPI 2010/2011
Tuesday, 13 September 2011
Khat Basmallah Berbentuk Ikan Nulkilan Syed Muhammad Naquib al-Attas
Basmallah Berbentuk Ikan |
Dalam bahasa Arab huruf nun adalah yang kedua-puluh lima dalam abjad
dan memberi ma‘na ikan; dan tepat pada ma‘na itu huruf nun memang termasuk dalam jenis huruf-huruf
yang digelar dhalqiyyah, ya‘ni huruf cairan. Nun juga melambangkan Ilmu Ilahi (al-‘Ilm)
dan pengertiannya sebagai lambang demikian terdapat pada permulaan Surah
al-Qalam dalam al-Qur’an al-Karim. Dalam ilmu tasawuf dan falsafah Islam yang
berdasar pada hikmah, maka ikan itu melambangkan Ruh (al-Ruh) yang sedia ada dalam Ilmu Ilahi. ‘Abd al-Karim al-Jili, dalam kitabnya yang mashhur yang bernama al-Insan al-Kamil (Insan yang Serba-Sempurna),
menggelar Ruh pada suatu wajah sebagai Perhimpunan segala Diri (al-Nafs
al-Kulliyyah), yang difahamkannya juga sebagai Lauh yang Terpelihara (al-Lawh al-Mahfuz), dan yang dilambangkannya sebagai ikan (al-Hut). Dalam rencana susunan wujud semesta,
Perhimpunan segala Diri itu terdapat pada martabat Wahidiyyah, yang
mencarakan Keesaan dalam keadaan wujud Berganda. Ikan itu berdada dalam lautan
yang Mahadalam, ya‘ni Lautan Wujud yang Mutlak (al-Wujud al-Mutlaq). Tiga
gelembung menandakan tiga titik: satu ada huruf ba’ pada permulaan Bismi’Llahi’l-Rahmani’l-Rahim;
dan dua pada huruf ya’ pada penghujungnya. Titik-titik ba’ dan ya’
itu masing-masing merupakan titik-titik yang pertama dan yang penghabisan
pada huruf-huruf dalam abjad Arab; dan oleh itu di sini titik-titik itu
melambangkan Nama-Nama Ilahi (al-Asma’); yang Awwal (al-Awwal) dan yang Akhir (al-Akhir), yang
keduanya penuh dengan kandungan wujud yang nyata pada Alam Arwah (‘Alam al-Arwah) dan pada Alam Pengalaman Indera Jasmani (‘Alam al-Shahadah). Mata ikan
terbentuk dari huruf mim dalam al-Rahman. Nama Ilahi al-Rahman itu adalah dasar segala wujud dan mawjud,
yang memberi wujud, ya‘ni rahmah, pada makhluk
jelata. Dalam bahasa Arab perkataan yang berma‘na mata adalah ‘ayn
juga berma‘na intisari atau hakikat sesuatu. Di sini huruf mim itu bererti Muhammad, jadi bentuknya
sebagai mata ikan melambangkan intisari sifat ikan itu sebagai Hakikat Muhammad
(al-Haqiqat al-Muhammadiyyah).
* Khat hasil gubahan Profesor Dr. Syed Muhammad
Naquib al-Attas pada tahun 1980 ini terpahat sebagai lambang rasmi cetakan
pertama karyanya, The Concept of Education in Islam, terbitan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), selain turut terukir sebagai satu-satunya
tema dan corak rasmi Kad Selamat Hari Raya ‘Id
al-Fitr Universiti Malaya pada tahun yang sama
(bersamaan dengan 1 Shawwal 1400H). Huraian
ringkas beliau mengenai pelbagai erti perlambangan yang terkandung dalamnya, sebagaimana
yang dinukilkan semula di sini, dirakamkan buat kali pertamanya pada Kad yang
sama.
Terima kasih kepada Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah yang memberikan bahan dan maklumat tentang khat untuk diterbitkan dalam blog ini
Friday, 9 September 2011
Catatan Sekitar Majlis Pelancaran Buku "Historical Fact and Fiction" Karya Syed Muhammad Naquib al-Attas
9 September 2011 - Alhamdulillah pada hari Jumaat yang penuh barakah di bulan Syawal ini, saya berkesempatan menghadiri majlis pelancaran buku Historical Fact and Fiction Karya Syed Muhammad Naquib al-Attas di Dewan Besar UTM, International Campus Jalan Semarak Kuala Lumpur. Majlis yang penuh bersejarah telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti al-Marhum Sultan Idris Shah, Tuanku Canselor Universiti Teknologi Malaysia. Majlis yang gilang-gemilang ini dipenuhi oleh para tetamu yang terdiri daripada para pelajar, pensyarah, orang awam dan sebagainya.
Buku Historical Fact and Fiction
memperbetulakan fakta yang salah dan kurang tepat yang dibuat oleh
sejarawan terutamanya dari kalangan orientalis tentang permulaan dan penyebaran
Islam di Nusantara. Al-Attas dalam karya ini
mendedahkan tentang kesilapan serta kesalahan orientalis yang menulis
tentang sejarah Islam di Nusantara berdasarkan metodologi empirikal dan
analisis logik lemah yang pada akhirnya beliau berjaya memperbetulkan
fakta-fakta tersebut. Untuk bacaan seterusnya boleh dapatkan naskah tersebut
yang berharga RM180. Namun, sempena pada majlis pelancaran karya tersebut,
naskah dijual dengan harga RM125. Walaupun kelihatan agak mahal, namun status
karya tersebut memang tidak ternilai dari segi kualiti analisisnya yang telah
berjaya memperbetulkan kembali sejarah-sejarah yang telah diselewengkan oleh
orientalis yang mempunyai agendanya yang tersendiri.
Majlis
pelancaran buku tersebut tamat kira-kira jam 11.15 pagi. Selepas itu, para
tetamu dihidangkan dengan jamuan yang diservis oleh Katering D Saji. Setelah
itu, sebahagian tetamu menunaikan solat Jumaat di Masjid Pusat Islam, UTM yang
mungkin baru disiapkan. Khutbah disampaikan oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar,
pensyarah CASIS-UTM bertajuk “Mensyukuri Nikmat Allah”.
Pada sesi
petang pula, satu seminar khas Sejarah Alam Melayu Antara Fakta dan Khalayan di adakan di Dewan Jumuah
UTM. Para pembentang tediri daripada Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud (CASIS-UTM),
Prof Dr Hashim Musa (UPM), Prof Madya Dr Tatiana Desinova (UM), Dr Syed
Khairuddin al-Junaid (NUS-Singapura) dan Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman
(CASIS-UTM). Antara yang menarik pada sesi ini ialah, betapa peranan dan
ketokohan al-Attas dalam bidang persejarahan yang di Alam Melayu dalam
memperbetulkan fakta tentang tarikh pada batu bersurat Terengganu yang dibuat
oleh Peterson iaitu Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu. Al-Attas melalui kepakaran beliau dalam bidang khat serta
bahasa telah berjaya menentukan tarikh tepat bagi penulisan batu ini iaitu
pada hari Jumaat, 4 Rejab 702 H.
Wassalam
Salam Hormat,
Basri Husin
Pantai Dalam
Wassalam
Salam Hormat,
Basri Husin
Pantai Dalam
Thursday, 8 September 2011
ISU-ISU UTAMA “ILHAM” DALAM
AJARAN SESAT QADIANI
Ajaran Qadiani atau juga dikenali sebagai Ahmadiah yang suatu ketika dahulu bergerak aktif di Kampung Nakhoda, Batu Caves Selangor telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24-25 Sep 1984. Antara kandungan fatwa tersebut menyatakan bahawa “Puak Qadiani /Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menerima hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.”
Ajaran Qadiani ini diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India pada tahun 1889. Ia dipercayai meresap masuk ke tanah Melayu sekitar 1930-an dan dipercayai dibawa oleh Maulana Husin Iyaz yang datang ke Singapura pada tahun 1935.
Daripada berberapa kandungan ajaran yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad, beliau antara lain mengaku menerima kitab (panduan baru) daripada tuhan menerusi jalan ‘ilham’ dan ‘wahyu’ sebagaimana dakwaanya dalam al-Khutbah al-Ilhamiyyah;
“Ini adalah kitab yang telah di‘ilham’kan oleh Tuhan kepadaku di satu hari daripada hari-hari perayaan, malah ia adalah hakikat yang diwahyukan tuhan kepadaku”.
Mirza Ghulam Ahmad menambah;
“Sesungguhnya telah sampai ‘wahyu’ kepadaku daripada Tuhan sebelum diturunkan penyakit taun supaya aku membuat perahu (bahtera) dengan pertolongan dan ‘wahyu’ kami”.
Dalam hal ini, ‘wahyu’ yang diterima oleh Mirza bukanlah melalui perantaraan Malaikat Jibrail a.s, tetapi melalui ‘ilham’ yang datang terus dari Allah S.W.T. Mirza juga mengakui bahawa wahyu melalui perantaraan Jibrail a.s sebenarnya telah terhenti kerana ‘wahyu’ ini hanyalah kepada rasul yang membawa agama baharu sahaja. Sebaliknya beliau mengkiaskan istilah ‘wahyu’ tersebut dengan konsep ‘ilham’ bagi setiap hujah dan dakwaan yang dikemukakan beliau.
Penerimaan ‘kitab baru’ sebagaimana yang didakwa Mirza seolah-olah wujudnya syariat baru dalam Islam yang jelas bertentangan dengan apa yang dijelaskan al-Qur’an. Sedangkan telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa syariat Islam adalah yang terakhir dan telah lengkap sebagaimana firman Allah:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Pada Hari Ini, Aku Telah Sempurnakan Bagi Kamu Agama Kamu Dan Aku Telah Cukupkan Nikmatku Kepada Kamu Dan Aku Telah Redakan Islam Itu Menjadi Agama Untuk Kamu.
Surah al-Ma’idah (5): 3
*Catatan: Nota ini adalah sebahagian daripada kertas kerja penulis yang bertajuk "Isu-Isu Utama "Ilham" Dalam Ajaran Sesat Di Alam Melayu: Penyelesaiannya Menurut Perspektif Imam al-Ghazali" yang (akan) dibentangkan pada 14-16 November 2011 di Equotaril Hotel Melaka
Siapa Abdul Rahman bin Auf?
Abdul Rahman bin Auf merupakan salah seorang sahabat nabi yang kaya-raya serta bersifat pemurah dan dermawan. Nama sebenar beliau ialah Abdul Rahman bin Auf al-Harith. Beliau dilahirkan pada tahun 580 Masihi iaitu 10 tahun selepas berlakunya peristiwa tentera bergajah. Abdul Rahman bin Auf terdiri dari kalangan orang yang awal memeluk Islam (antara 7 yang terawal). Beliau masuk Islam disebabkan oleh dakwah yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Apa yang istimewa tentang Abdul Rahmad bin Auf ialah, beliau terdiri dalam kalangan 10 orang sahabat nabi yang dijamin masuk syurga. Beliau meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah pada umur 75 tahun. Makamnya terletak berdekatan di Masjid Nabawi Madinah.
Subscribe to:
Posts (Atom)