Tuesday, 29 May 2018

Surat Terbuka Untuk PM: HARAPAN ORANG KURANG UPAYA: JADIKAN HAK SATU KENYATAAN

>>> Surat Terbuka Untuk PM <<<
HARAPAN ORANG KURANG UPAYA: JADIKAN HAK SATU KENYATAAN
Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan (Commission for Disability Inclusion) dan Enakmen Akta Diskriminasi Ketidakupayaan (Disability Discrimination Act) bagi Penguatkuasaan Hak Orang Kurang Upaya di Malaysia.
Kami, rakyat Malaysia yang masih dipinggirkan dan dibebankan oleh pelaksanaan yang lemah dari pelbagai dasar yang berkaitan dengan ketidakupayaan dan pembangunan di negara ini, mahu kajian semula dilakukan ke atas Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) dan semua undang-undang lain yang berhubungan dengan Orang Kurang Upaya, untuk mencapai kepada penubuhan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan dengan kuasa penguatkuasaan dan penggubalan Akta Diskriminasi Ketidakupayaan.
1. Kepimpinan YAB adalah daya penggerak yang diperlukan untuk mengubah negara ini ke hadapan dan mencapai peluang yang saksama bagi Orang Kurang Upaya di negara ini yang akan memenuhi Wawasan 2020 dan seterusnya di mana penuaan masyarakat tidak dapat dielakkan.
2. Menjelang 2040, gabungan penduduk kurang upaya dan warga emas akan membentuk 34% daripada populasi negara dan banyak isu perlu ditangani segera dalam semua sektor seperti perumahan, tempat dan kemudahan awam, pengangkutan, pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan dan lain-lain aspek komuniti dan kehidupan sosial.
3. Akta Orang Kurang Upaya 2008, telah terbukti tidak berkesan untuk sedekad yang lalu dan tidak membawa perubahan penting dalam menegakkan hak Orang Kurang Upaya seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya.
4. Akta Diskriminasi Ketidakupayaan yang dicadangkan akan melengkapi Akta Orang Kurang Upaya 2008, dan semua undang-undang lain yang berkaitan. Akta baru ini akan menyediakan tindakan undang-undang dan hukuman kepada pihak yang tidak mematuhi Akta ini dan semua undang-undang lain yang berkaitan dengan Orang Kurang Upaya. Penubuhan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan di bawah undang-undang akan memantau dan memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan pelan tindakan dalam semua bidang untuk menegakkan hak Orang Kurang Upaya di Malaysia.
5. Akta baru dan Suruhanjaya ini harus berada di dalam dan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab secara langsung kepada Perdana Menteri untuk mengintegrasikan semua dasar dan undang-undang di setiap Kementerian yang berkaitan dengan ketidakupayaan termasuk aksesibiliti dan reka bentuk sejagat.
Yang ikhlas,
HARAPAN OKU
28 Mei 2018

Saturday, 26 May 2018

SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN YANG KE-10 BUAT ISTERIKU



10 Tahun yang menguji; Antara kasih, cinta, setia dan tanggungjawab

Dalam 10 tahun usia perkahwinan ini tiada apa kemewahan saya mampu tawarkan buat Isteri. Bukannya jenama beg tangan ternama. Bukannya kereta bergaya dan tempat tinggal yang tersergam indah. Cukuplah sebuah kehidupan yang bahagia.
Ya! Kami hidup seadanya. Makan apa yang ada. Gembira dengan dua cahaya mata. Saat api marah dia marak membara, saya diam seribu bahasa. Apabila saya dalam keadaan tekanan dia datang memberi harapan.
Ketika 6 tahun usia perkahwinan, Allah menguji kehidupan dengan suatu ujian yang tidak pernah difikirkan. Suatu keadaan lumpuh fizikal diri ini yang membawa penuh emosi. Ketika saraf tunjang sudah rosak, maka dialah yang menjadi tunjang sebuah pengharapan.
Tiada perkara yang besar melainkan janji perkahwinan yang setia dalam apa jua keadaan. Sedikit ujian yang berlaku beliau berada di sisi memberi semangat. Saat berita kegembiraan disampaikan beliau sentiasa mengucap kesyukuran.
Tidak tahu mengapa aku memilih dia, dan tidak tahu mengapa dia menerima aku seadanya...
Sebenarnya di manakah chemistry itu?
Mungkinkah pada nama?
Perkara ini hanya terlintas dalam jiwa beberapa ketika dahulu.
Aku yang bernama Basri, Isteriku pula Ashikin Aini Abdullah. Namun, di mana chemistry kami? Perhatikan namaku, perhatikan pula nama isteriku. Apa maksudnya dalam bahasa melayu jika diterjemahkan?
Basri bererti penglihatanku. Ashikin Aini pula keasyikan mataku. Penglihatanku takkan sempurna tanpa mata, dan matanya tidak cantik sekiranya tidak berfungsi untuk melihatku.
Kebetulan? Mungkin itu tafsiranku. Atau ia suatu suratan yang ditakdirkan.



Namun sebenarnya ia lebih daripada itu. Ikatan perkahwinan yang penuh dengan kasih, cinta, setia dan tanggung jawab.
Setiap kesedihan dipikul bersama. Setiap kejayaan juga dikongsi bersama.
Pernah suatu ketika aku memberitahu guruku Prof. Emeritus Dato' Dr Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid yang diriku sudah submit tesis untuk pemeriksaan.. Kemudian daku berkata yang usaha usaha ini banyak dibantu oleh Ashikin Aini Abdullah. Jawapan Dato' sangat terinspirasi dan akan aku ingat sampai bila-bila;
“Apa saja kejayaan suami atau isteri sebenar nya kejayaan bersama. Kerana mereka sebenarnya dua badan dan dua jiwa yang telah bersatu dalam ikatan tali Allah.”

Namun dalam hatiku menambah, kejayaan ini tidak bermakna tanpa sokongan isteri yang begitu setia dalam usia perkahwinan ini.
Sesungguhnya ikatan perkahwinan itu memerlukan sebuah pengorbanan dan kesabaran. Kerana kemanisannya akan dapat dirasai untuk jangka masa yang lama.
Bak kata orang putih, “Complete each other, don't compete with each other”.


Doakan kami hidup kekal bersama sehingga ke hujung usia.
Selamat ulang tahun perkahwinan buat isteri tercinta!


25 Mei 2008 - 25 Mei 2018

Thursday, 17 May 2018

CATATAN PERJALANAN ETS KL SENTRAL - SUNGAI PETANI- KL SENTRAL

Pertama kali menaiki perkhidmatan ETS untuk pulang ke Kedah bersempena PRU 14 sedikit teruja. Bukanlah kerana saya tidak biasa menaiki perkhidmatan awam bahkan ia merupakan pengangkutan utama yang selalu saya guna seperti Putra LRT, Star LRT, ERL dan MRT di Lembah Klang.
Namum sedikit berbeza dengan pengalaman menaiki perkhidmatan ETS ini kerana ia merupakan suatu perjalanan saya yang agak panjang menuju utara tanah air. Tambahan pula saya pulang bersendirian kerana Isteri dan anak-anak pulang ke Johor. Isteri mengundi di Dun Kempas dan Parlimen Pulai.
Rasa keterujaan ini sebenarnya ditambah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk pulang mengundi. Oleh itu sebaik sahaja SPR telah menetapkan tarikh mengundi, keesokannya terus saya pergi ke kaunter KTM di KL Sentral untuk membeli tiket. Risau kerana tiket habis dan tak dapat pulang mengundi. Bukan senang nak ambil peluang ini 5 tahun sekali.

Sebenarnya tiket perjalanan menaiki ETS bagi seorang OKU amatlah berbaloi kerana ada diskaun sebanyak 50% perjalanan. Oleh itu, tiket perjalanan saya dari KL SENTRAL ke Sungai Petani menjadi separuh sahaja iaitu RM45.00 dengan Kelas Platinum dan RM35 untuk Kelas Gold. Bahkan bagi OKU yang membawa pengiring juga layak mendapat diskaun 50% perjalanan. So, sebab itu ia sangat berbaloi.

Dari segi perkhidmatan perjalanan pula, koc untuk OKU berkerusi roda kebiasannya berada ditempatkan di Koc D. Mungkin kerana ia berdekatan dengan tandas OKU dan bersebelahan kaunter makanan dan minuman. OKU berkerusi roda boleh memilih untuk duduk di atas kerusi rodanya sepanjang perjalanan ataupun pindah ke kerusi penumpang. Saya pilih untuk pindah ke kerusi penumpang kerana dapat bersandar dengan selesanya. 4 jam atas kerusi roda? Ohh tak mampu rasanya...


Terdapat juga kemudahan tandas yang agak luas dan selesa untuk digunakan dalam perjalanan. Ia bersifat gunasama tak kira fizikal yang sempurna atau berkerusi roda. Juga tidak kira lelaki dan wanita. Tandasnya amat bersih dan ada flip handbar untuk dipegang kalau nak pindah ke mangkuk tandas. Cuma sedikit bergoyang disebabkan perjalanan train.



Selain itu perkhidmatan makanan dalam train juga disediakan. Ia terletak di koc C berdekatan dengan tandas. Akses ke sana juga mudah. Namun ketika perjalanan pulang ke Kedah, terdapat penumpang di sebelah saya menawarkan diri untuk membeli makanan. Saya setuju sahaja. Set Nasi Lemak Rendang dan Milo Panas RM9. Boleh tahan harga!


Dari segi tempoh perjalanan, ia boleh dikatakan agak cepat kerana ketika pulang ke Kedah, train saya bertolak pada jam 11.40 pagi dari KL Sentral dan tiba di stesen KTM Sungai Petani jam 3.50 petang. Jadi selepas dihitung perjalanan dengan train adalah selama 4 jam 10 minit sahaja. Terdapat skrin tv info perjalanan yang mencacatkan kelajuan train. Adakalanya mencecah 140kmj. Ia berhenti di beberapa stesen utama sebelum sampai Sungai Petani bagi tiket kelas Platinum seperti di Batu Gajah, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping dan Sungai Petani.
Keadaan di dalam train agak sejuk, jadi lebih baik sediakan sweater atau bawa selimut sendiri kalau sesiapa yang tak tahan sejuk.
Bagi sesiapa yang suka main handphone 24 jam, di sesetengah kawasan, line internet agak perlahan. Mungkin kerana laluan perkhidmatan ETS agak berbeza dari highway PLUS yang berhampiran pencawang telekomunikasi.
Kesimpulannya perjalanan pulang dengan ETS memang berbaloi dan perkhidmatan yang di sediakan juga adalah terbaik. Rasa tak sia-sia balik mengundi. Tambahan pula kerajaan baru yang memerintah sekarang. Harap lebih baik dari yang lama.
Basri Husin
13 Mei 2018






Tuesday, 15 May 2018

Dunia OKU, Sejauh Mana Kita Cakna

Dunia OKU, Sejauh mana kita cakna?


Ketika kita sedang sibuk bertanya, hari ini nak makan apa dan nak makan di mana, ada dari kalangan OKU masih lagi berfikir nak makan macamana. Ada yang tak mampu memegang sudu, memegang gelas, ada pula yang makan bukan melalui mulut mereka.

Ada dari kita masih terfikir nak pakai apa dan baju warna apa, mereka hanya mampu memakai pakaian yang sama. Adakah salah mereka yang tidak berusaha untuk mengubah diri mereka? Cuba tanya diri kita sejauh mana kita bersikap empati terhadap keupayaan mereka? Sejauh mana sistem yang ada menyokong keupayaan mereka.

Dua tiga kali mereka pergi ke Pesta Kerjaya, namun jawapan tetap sama. Tiada kerja yang sesuai untuk mereka. Kalau diterima pun gaji yang tidak sepadan dengan usaha mereka.

Mereka bukanlah golongan meminta-minta, kerana mereka orang kuat usaha… Jika tak mampu membantu mereka, cukuplah berikan senyuman dan bertegur sapa. Jangan sisihkan mereka. Jangan diambil hak mereka. Parking, tandas OKU itu mereka punya. Jangan guna alasan sekejap sahaja atau tiada orang guna. Kerana kemampuan fizikal  tidak sama. Bukanlah kerana mereka Manja.

Jika yang berkerusi roda mahu ke ruang masjid, jangan dihalangi mereka, roda yang kotor mungkin alasannya. Sediakanlah kemudahan untuk mereka. Mereka juga hambanya. Bahkan Rasulullah juga muliakan mereka. Kisah Abdullah Ibnu Maktum sebagai contohnya.

Jika jumpa si buta di jalanan, bantu mereka tanya mahu ke mana. Bimbing mereka ke laluan tactile yang dibina. Mereka sudah biasa menggunakannya.

Jika pula ternampak golongan yang bercakap dengan isyarat tangan, mereka juga orang kurang upaya. Fizikal sempurna tetapi tidak pada pendengaran mereka.

Dan jika ternampak anak-anak istimewa, berilah sokongan moral kepada keluarga mereka. Jangan sinis dan jangan pula mengata. Anak-anak mereka seperti anak-anak kita. Mahukan kasih sayang daripada keluarga. Ibu bapa mana yang tak sayang anak mereka.

Catatan ini bukan meraih simpati sesiapa. Hanya mahu masyarakat cakna. Allah tidak melihat rupa yang sempurna.  Tetapi iman di dada.

Buka mata dan buka minda. Beri peluang kepada mereka, untuk sama-sama bangunkan negara dan hidup selesa bersama kita.

Basri Husin
15 Mei 2018
Kuala Lumpur