Wednesday, 5 October 2011

IBU

(catatan puisi pelajar tutorial IAEU 3316 Pendidikan Keibubapaan)



PELAJAR PERTAMA
Ibu...
Ku tahu perit kau mengendongku,
9 bulan di dalam kasih sayangmu,
Keluar aku di dakapmu,
Bahkan luka masih diperutmu,

Ibu,
Lelahmu belum pun hilang,
Namun aku sudah menghilang,
Tidak jemu menjemputku pulang,
Sehingga ijazah ku gulung pulang,

Ibu,
Ketiadaanmu membuatku resah,
Ke sana ke sini tak tentu arah,
Ku pohon engkau di dalam redha-Nya,
Agar kepulanganmu nanti membawa rahmat-Nya,

*moga ibu sentiasa dipermudahkan urusan di Tanah suci dan mendapat Haji yang mabrur
~anakmu~

PELAJAR KEDUA
Ibu…
9 bulan 10 hari aku dalam kandunganmu,
Saat lahirku di sambut dengan tangisanmu,
Walau lelah bertarung dalam jihad melahirkan ku,
Kau tersenyum tatkala mendengar tangisanku.

Ibu…
Saat aku umpama sehelai kain putih yang tiada coraknya,
Kau tabah dan sabar dalam mencalit warna pada diriku,
Saat aku kesesatan,
Kau sentiasa memegang tangaku agar aku tidak kalah dalam kehidupan,
Saat aku kesakitan,
Kau berikan bahumu sebagai ubat bagi sakitku,

Ibu…
Tanpamu aku kaku,
Tanpamu aku hanyalah insan yang tidak punya nilai.

PELAJAR KETIGA
Ibu...
Bergenang air mataku,
Terbayang,
Wajahmu yang redup sayup,
Tulusnya,
Kasih yang engkau hamparkan,
Bagaikan lautan yang tak bertepian,

Biarpun,
Kepahitan yang engkau rasakan,
Tidak pernah merasa jemu,
Mengasuh, mendidik semua anak-anakmu,
Dari kecil hingga dewasa,
Hidupmu kau korbankan,
Biarpun jasadmu telah terkorban,
Tak dapat ku balasi semua ini,

Ibu...
Kau permata hatiku,
Penawar sakit dan dukaku,
Penyeri kehidupanku,
Siapa aku jika tanpamu,
Di waktu saat kau melahirkan,
Kesakitan tak pernah dirasa,
Nyawa menjadi gantinya,
Tak pernah kau mengungkitkannya,

Ibu...
Ku ingat selalu,
Menyisir rambutku,
Ke masa lalu,

Tuhan yang esa…
Ampuni dosa ibu,
Tempatkan beliau
Di atara kekasih-kekasihmu oh tuhan,

Ibu...
Kasih sayangmu,
Sungguh bernilai,
Itulah harta yang kau berikan,
Semoga tuhan memberkati kehidupanmu ibu.


PELAJAR KEEMPAT

Ibuku,
Sekali ku terbayang wajahmu,
Bagaikan mentari yang menyinar di siang hari,
Menyuluhi hidupku mengikut panduan ilahi,

Ibuku,
Pengorbananmu dalam membesarkanku amat kuhargai,
Namun begitu ianya bukahlah sesuatu yang dapat aku balasi,
Sekalipun lautan api dapat ku redahi,
Hanya tuhan sahaja yang dapat membalasi,

Ibuku,
Kasih sayangmu bagaikan lilin yang membakari diri,
Bukanlah sesuatu perkara yang dapat ditukar ganti
Walaupun mempunyai ribuan isteri,
Engkau satu-satunya berada dihati,
Kasih sayangmu amatlah ditagihi,
Bagi mereka yang mengharapkan kasih ilahi



PELAJAR KELIMA
Ibu,
Kasihmu yang satu,
Tiada dua, tiga dan seterusnya,

Kasih yang dicurah,
bagai tiada tapisannya,
membuatkan diriku,
terus diulit rindu

Ibu,
Renungan matamu,
Belaian tanganmu,
Marahan kasihmu,
Membuatkan hatiku,
Sebak mengenang dirimu,

Ibu,
Titis-titis keringatmu,
Untuk membesarkanku,
Tidak ternilai harganya,

Mata yang celik ini,
Terus celik berkat kasihmu,
Mulut yang berkata-kata ini,
Terus berkata kerana didikanmu
Telinga yang mendengar ini,
Terus mendegar segala nasihatmu,

Namun aku,
Selalu menyakitimu,
Maafkanku ibu…


PELAJAR KEENAM
Ibu,
Engkaulah ratu hatiku,
Bila aku berduka engkau akan berada di sampingku,
Bila aku ketawa engkau sentiasa bersamaku,
Setiap derap langkahmu bayanganmu menjadi penemanku.

Ibu,
Perit jerihmu dalam membesarkanku,
Tidak mungkin ku lupakan walau sekelumit,
Hadirmu dalam kehidupanku,
Bagai sebatang lilin menerangi kegelapan malam,

Ibu,
Tiap titis susu yang mengalir di dalam diriku,
Itu adalah penawar,
Itu adalah madu,
Itu juga adalah senjata bagiku.

Ibuku,
Mohonku hanyalah satu,
Iringanku dalam setiap langkahku,
Bantulah aku dalam menyelusuri liku-liku hidup ini,
Terangilah aku jika aku mulai kabur.

Wahai ibu,
Hidupmu adalah hidupku jua,
Tanpamu di sini tiadalah aku.

Tuesday, 4 October 2011

Kalau Saya Ada Anak


(catatan ringkas pelajar tutorial IAEU 3316 Pendidikan Keibubapaan)


PELAJAR PERTAMA
Sekiranya ku dikurniakan anak,
Inginku namakannya Muhammad,
Yang dapat menegakkan kalimah Allah,
Yang dapat mencontohi alim ulama’,
Yang tidak jemu mendalami ilmu pengetahuan,

Sekiranya ku dikurniakan anak,
Ku ingin dia membesar dengan sihat,
Ku ingin menjaganya dengan sepenuh hati,
Agar ku tahu betapa susahnya ibu bapa membesarkanku,
Aga ku tahu betapa pentingnya menyayangi dan disayangi,
Agar ku dapat mensyukuri kurniaan ilahi,
Agar ku tak menyendiri suatu hari nanti,
Kerana doa seorang anak akan selalu mengiringi.


PELAJAR KEDUA
Kalau saya ada anak… saya ingin ia menjadi seorang anak yang soleh dan solehah. Menjadi penyejuk mata sepanjang hayat. Saya ingin menjaganya sepertimana ibu saya membesarkan saya. Mendidiknya dengan ilmu agama dan duniawi secara seimbang. Ingin melihatnya seorang yang petah berbicara dan mampu menuturkan ayat-ayat al-Qur’an dengan lancar seawal usia 5 tahun. Maknanya akan saya pelihara dan kawal supaya minda dan pemikirannya terjaga dan mudah mempelajari setiap apa yang di ajar. Saya akan menjadi sahabat terbaiknya. Tidak akan saya biarkan anak itu kesunyian tanpa kasih sayang dari ibu dan bapanya. Saya akan mendidiknya dengan cara yang lembut, agar anak saya membesar dengan suasana yang baik. Saya tidak inginkan anak yang ramai tapi biarlah kualiti anak itu yang menjadi keutamaan. Saya juga ingin anak saya menjadi lebih baik dari saya.


PELAJAR KETIGA
Kalau saya ada anak,
Jangan disia-siakan anugerah yang  dikurniakanNYA,
Terima seadanya,
Redha dengan takdir dariNYA
Kerana Allah maha mengetahui segalanya
Kerana Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita

Kalau saya ada anak
Didikan agama mesti diterapkan dalam jiwa anak-anak
Anak-anak yang lahir ibarat kain putih
Pasakan akidah dan pemahaman Islam menjadi tunjang,
Aspek solat ditekankan... di ajar sewaktu usia muda

Kalau saya ada anak
Pendidikan rohani, kasih-sayang, jangan dilupakan
Berhibur serta kebebasan tiada salahnya tetapi sentiasa dalam pemerhatian

Kalau saya ada anak,
Aspek akhlak serta sosio budaya perlu ditekankan
Kerana dunia sekarang zaman luar biasa, zaman IT, segalanya dihujung jari...
Pelbagai perkara yang berlaku diluar jangkauan..
Perkara sedemikian menjadi kerisauan pada setiap ibu dan bapa
Moga anak-anakku serta keluarga dilindungi

Kalau saya ada anak,
Anak yang soleh dan solehah, baik akhlak dan peribadinya
Menjadi impianku serta orang yang bergelar ibu
Kerana anak yang lahir menjadi penyejuk mata,
menjadikan hati tenang, penghibur dikala kesusahan

Kalau saya ada anak,
Doa sentiasa diiringi kerana doa adalah senjata orang mukmin
Jangan mudah mengeluh serta putus asa atas apa ujian yang allah berikan...
kerana anak-anak juga merupakan salah satu ujian







Friday, 30 September 2011

Menutup Aurat Bukan Membalut Aurat


Sumber : FACEBOOK UST ZAMRI http://www.facebook.com/pages/Ustaz-Zamri/301207935102

Panduan Memilih Warna Untuk Website, Blog, Poster atau Pamphlet (Brosur)


Memilih warna untuk web, poster, pamphlet  dan sebagainya sememangnya memerlukan satu kemahiran yang tinggi agar sesuatu warna tu tidak terlalu kusam dan tidak terlalu terang. Ia haruslah sesuai dengan tema yang diinginkan. Sekiranya pamphlet yang dibuat itu untuk kanak-kanak, maka warna keceriaan dan terang menjadi pilihan utama. Sebaliknya pamphlet atau poster untuk orang dewasa, warna-warna yang kurang terang menjadi pilihan. Di samping itu, tulisan juga memainkan peranan dalam sesuatu rekaan. Kalau ia ditujukan kepada orang dewasa atau tua, tulisan janganlah terlalu kecil, kerana kebanyakan orang tua atau dewasa sudah menghadapi masalah penglihatan.
Berkebetulan saya sedang menyiapkan satu pamphlet  dan poster untuk seminar pada 2012, saya terjumpa satu website http://colorschemedesigner.com/# yang memberi panduan kepada anda untuk menyesuaikan warna berdasarkan pilihan masing-masing. Anda hanya perlu copy paste code tersebut di Adobe Photoshop mengikut selera masing-masing. Selamat Mencuba!!

Purple Color

Maroon color


Spring Green


Ini pula adalah contoh website yang menggunakan kaedah gabungan warna dari “colorschemedesigner”



Sekian, bertemu lagi
Basri Husin
Universiti Malaya
30 September 2011
20:22

Thursday, 15 September 2011

Dokumen Pemasyhuran dan Penubuhan Malaysia 1963

Watikah Pemasyhuran Malaysia

PEMASHHORAN MALAYSIA 1963
Dengan nama Allah Yang Maha Murah [Pemurah] lagi Maha Mengasehani.
       Segala Pujian2 bagi Allah Tuhan Seru sakalian ‘Alam dan selawat dan salam bagi Junjongan Kita Nabi Muhammad dan bagi sakalian Keluarga serta Sahabat2-nya
BAHAWA SA-NYA oleh kerana suatu Perjanjian yang di-perbuat pada Sembilan hari bulan Julai tahun sa-ribu sembilan ratus sembilan enam puloh tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah di-persetujui bahawa hendak-lah di-sekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapuran dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandongi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendak-lah di-namakan “Malaysia”.
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana pihak2 dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendak-lah tamat daripada menjadi jajahan ta’alok Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga2 buah Negeri itu;
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana telah di-mashhorkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang mu’tammad di-dalam-nya;
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah di-adakan sharat bagi menjaga keselamatan hak2 dan keutamaan2 Duli2 Yang Maha Mulia Raja2 serta hak2 asasi dan kebebasan sekalian ra’ayat dan bagi mengekalkan keamanan dan kemesraan di-dalam Malaysia sa-bagai Kerajaan yang mempunyai Raja yang berpelembagaan dan yang berdasarkan demokrasi chara berparlimen;
DAN BAHAWA SA-NYA oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah di-sahkan oleh suatu undang2 yang di-luluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalan-lah kuat-kuasa Perlembagaan itu pada Enam belas hari bulan September tahun sa-ribu Sembilan ratus enam puloh tiga;
MAKA dengan nama Allah Yang Maha Murah [Pemurah] lagi Maha Mengasehani, saya TUNKU ABDUL RAHMAD PUTRA AL-HAJ INBI AL-MARHUM SULTAN ABDUL HALIM SHAH, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ka-bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak DENGAN INI MENGISHTIHAR DAN MEMASHHORKAN bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam belas hari bulan September tahun sa-ribu sembilan ratus enam puloh tiga bersamaan dengan Dua puloh lapan hari bulan Rabi’ul Akhir tahun Hijrah sa-ribu tiga ratus lapan puloh tiga, Malaysia yang mengandungi Neger Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul’ –Alamin akan kekal menjadi sa-buah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan ke’adilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umat-nya dan mengekalkan keamanan di-antara segala bangsa di-dunia ini.
Kuala Lumpur
Enam belas hari bulan September 1963                              Perdana Menteri

Sumber: PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA 1791-1965 (2008), Terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur,  h. 104-105

Wajah-wajah JAPI 2010/2011

Senyuman-senyuman ini sudah boleh menggambarkan tentang kecerian keluarga Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya..

Senyuman JAPI ketika Family Day April 2011 di Port Dickson, Negeri Sembilan

Tuesday, 13 September 2011

Khat Basmallah Berbentuk Ikan Nulkilan Syed Muhammad Naquib al-Attas


Basmallah Berbentuk Ikan

Dalam bahasa Arab huruf nun adalah yang kedua-puluh lima dalam abjad dan memberi ma‘na ikan; dan tepat pada ma‘na itu huruf nun memang termasuk dalam jenis huruf-huruf yang digelar dhalqiyyah, ya‘ni huruf cairan. Nun juga melambangkan Ilmu Ilahi (al-‘Ilm) dan pengertiannya sebagai lambang demikian terdapat pada permulaan Surah al-Qalam dalam al-Qur’an al-Karim. Dalam ilmu tasawuf dan falsafah Islam yang berdasar pada hikmah, maka ikan itu melambangkan Ruh (al-Ruh) yang sedia ada dalam Ilmu Ilahi. ‘Abd al-Karim al-Jili, dalam kitabnya yang mashhur yang bernama al-Insan al-Kamil (Insan yang Serba-Sempurna), menggelar Ruh pada suatu wajah sebagai Perhimpunan segala Diri (al-Nafs al-Kulliyyah), yang difahamkannya juga sebagai Lauh yang Terpelihara (al-Lawh al-Mahfuz), dan yang dilambangkannya sebagai ikan (al-Hut). Dalam rencana susunan wujud semesta, Perhimpunan segala Diri itu terdapat pada martabat Wahidiyyah, yang mencarakan Keesaan dalam keadaan wujud Berganda. Ikan itu berdada dalam lautan yang Mahadalam, ya‘ni Lautan Wujud yang Mutlak (al-Wujud al-Mutlaq). Tiga gelembung menandakan tiga titik: satu ada huruf ba’ pada permulaan Bismi’Llahi’l-Rahmani’l-Rahim; dan dua pada huruf ya’ pada penghujungnya. Titik-titik ba’ dan ya’ itu masing-masing merupakan titik-titik yang pertama dan yang penghabisan pada huruf-huruf dalam abjad Arab; dan oleh itu di sini titik-titik itu melambangkan Nama-Nama Ilahi (al-Asma’); yang Awwal (al-Awwal) dan yang Akhir (al-Akhir), yang keduanya penuh dengan kandungan wujud yang nyata pada Alam Arwah (‘Alam al-Arwah) dan pada Alam Pengalaman Indera Jasmani (Alam al-Shahadah). Mata ikan terbentuk dari huruf mim dalam al-Rahman. Nama Ilahi al-Rahman itu adalah dasar segala wujud dan mawjud, yang memberi wujud, ya‘ni rahmah, pada makhluk jelata. Dalam bahasa Arab perkataan yang berma‘na mata adalah ‘ayn juga berma‘na intisari atau hakikat sesuatu. Di sini huruf mim itu bererti Muhammad, jadi bentuknya sebagai mata ikan melambangkan intisari sifat ikan itu sebagai Hakikat Muhammad (al-Haqiqat al-Muhammadiyyah).

* Khat hasil gubahan Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1980 ini terpahat sebagai lambang rasmi cetakan pertama karyanya, The Concept of Education in Islam, terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), selain turut terukir sebagai satu-satunya tema dan corak rasmi Kad Selamat Hari Raya ‘Id al-Fitr Universiti Malaya pada tahun yang sama (bersamaan dengan 1 Shawwal 1400H). Huraian ringkas beliau mengenai pelbagai erti perlambangan yang terkandung dalamnya, sebagaimana yang dinukilkan semula di sini, dirakamkan buat kali pertamanya pada Kad yang sama.

Terima kasih kepada Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah yang memberikan bahan dan maklumat tentang khat  untuk diterbitkan dalam blog ini

Friday, 9 September 2011

Catatan Sekitar Majlis Pelancaran Buku "Historical Fact and Fiction" Karya Syed Muhammad Naquib al-Attas

9 September 2011 - Alhamdulillah pada hari Jumaat yang penuh barakah di bulan Syawal ini, saya berkesempatan menghadiri majlis pelancaran buku Historical Fact and Fiction Karya Syed Muhammad Naquib al-Attas di Dewan Besar UTM, International Campus Jalan Semarak Kuala Lumpur. Majlis yang penuh bersejarah telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti al-Marhum Sultan Idris Shah, Tuanku Canselor Universiti Teknologi Malaysia. Majlis yang gilang-gemilang ini dipenuhi oleh para tetamu yang terdiri daripada para pelajar, pensyarah, orang awam dan sebagainya.

Buku Historical Fact and Fiction memperbetulakan fakta yang salah dan kurang tepat yang dibuat oleh sejarawan terutamanya dari kalangan orientalis tentang permulaan dan penyebaran Islam di Nusantara. Al-Attas dalam karya ini  mendedahkan tentang kesilapan serta kesalahan orientalis yang menulis tentang sejarah Islam di Nusantara berdasarkan metodologi empirikal dan analisis logik lemah yang pada akhirnya beliau berjaya memperbetulkan fakta-fakta tersebut. Untuk bacaan seterusnya boleh dapatkan naskah tersebut yang berharga RM180. Namun, sempena pada majlis pelancaran karya tersebut, naskah dijual dengan harga RM125. Walaupun kelihatan agak mahal, namun status karya tersebut memang tidak ternilai dari segi kualiti analisisnya yang telah berjaya memperbetulkan kembali sejarah-sejarah yang telah diselewengkan oleh orientalis yang mempunyai agendanya yang tersendiri.




Majlis pelancaran buku tersebut tamat kira-kira jam 11.15 pagi. Selepas itu, para tetamu dihidangkan dengan jamuan yang diservis oleh Katering D Saji. Setelah itu, sebahagian tetamu menunaikan solat Jumaat di Masjid Pusat Islam, UTM yang mungkin baru disiapkan. Khutbah disampaikan oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar, pensyarah CASIS-UTM bertajuk “Mensyukuri Nikmat Allah”. 



Pada sesi petang pula, satu seminar khas Sejarah Alam Melayu Antara Fakta dan Khalayan di adakan di Dewan Jumuah UTM. Para pembentang tediri daripada Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud (CASIS-UTM), Prof Dr Hashim Musa (UPM), Prof Madya Dr Tatiana Desinova (UM), Dr Syed Khairuddin al-Junaid (NUS-Singapura) dan Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman (CASIS-UTM). Antara yang menarik pada sesi ini ialah, betapa peranan dan ketokohan al-Attas dalam bidang persejarahan yang di Alam Melayu dalam memperbetulkan fakta tentang tarikh pada batu bersurat Terengganu yang dibuat oleh Peterson iaitu Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu. Al-Attas melalui kepakaran beliau dalam bidang khat serta bahasa telah berjaya menentukan tarikh tepat bagi penulisan batu ini iaitu pada hari Jumaat, 4 Rejab 702 H.




Wassalam
Salam Hormat,
Basri Husin
Pantai Dalam